Sunday, June 28, 2009

MEMPERTIKAI KONSEP KUANTUM MEKANIK

Salam,

Orang yang mengangkat konsep Kuantum Mekanik, cukup taksub dengan "Unified Field Theory" yang dibawa oleh saintis terkemuka seperti Einstein. Pegangan ini bermula dari kepercayaan bahawa "semua material di alam ini adalah hanya ilusi". Grafik yang dilihat oleh mata, bunyi dan suara yang didengar melalui telinga kita sebenarnya adalah palsu. 'Kepalsuan' itu terletak di dalam minda yang menyangka bahawa fenomena yang dikesan itu adalah benar-benar 'begitu' sedangkan ianya hanya merupakan pantulan gelombang elektromagnetik yang merembat di dalam sistem deria dan seterusnya diintepretasi oleh sistem sel otak. 'Realiti' yang dikesan oleh deria kita itu sebenarnya bukan 'realiti'. Implikasinya ialah, kita bakal melihat relativiti di dalam semua kejadian di alam maya ini. Semuanya bakal menjadi 'benar belaka' atau 'salah belaka' atau apa jua nilai yang diletak oleh individu mengikut sangkaan masing-masing. Jadi, mereka berpendapat bahawa 'pertanggung-jawaban dalam tindakan sendiri' menjadi tidak relevan kerana tiada rujukan nilai yang boleh diterima umum - semuanya relatif belaka. Jika mereka menganiaya orang umpamanya, perbuatan itu hanyalah simbolik dan sudah tentu bukannya realiti. Tiada siapa yang akan patut dihukum akibat tindakannya dan si malang yang teraniaya itu sebenarnya memang telah bersedia untuk 'dianiaya' di dalam sistem yang penuh dengan nilai relatif ini.

Secara tiba-tiba, datang ilham kepada penulis yang memberi idea untuk menyanggah 'sangkaan' peneraju teori Kuantum Mekanik ini. Pertikaiannya terletak pada kewujudan infrastruktur sistem yang dikurniakan kepada kita semua. Silalah bertanya mengapa kita mempunyai peralatan-peralatan asas yang ada pada setiap individu termasuk pada haiwan juga. Mengapa kita diberi mata yang berkebolehan untuk menerima getaran cahaya dan menghantar impuls ke sistem minda kita? Mengapa kita semua memiliki peralatan yang sama? Jika ianya hanya persepsi mengapa tidak orang lain mempunyai peralatan yang berlainan? Ini bermakna kita telah dipersediakan dengan kebolehan asas tertentu yang impaknya boleh dikongsi bersama dan dengan menggunakan alat komunikasi yang boleh difahami oleh semua. Apabila persepsi kesan persepsi itu boleh dikongsi maka semua boleh "membanding-beza" akan sesuatu yang dipersepsikan. Objek dan pemikiran yang dikesan boleh pula dihirarkikan dan sentiasa menjadi suatu ilmu yang menuntut tanggung-jawab. Sebenarnya manusia tidak terlepas dari tanggung-jawab. Jika tidak, mustahil kita diberikan semua asas peralatan yang ada pada tubuh dan minda kita.

Memandangkan kita semua berkebolehan menerima ilmu dengan peralatan yang ada, maka kita memerlukan kayu ukur atau 'benchmark' sebagai rujukan bagi meletakkan nilai pada sesuatu itu. Nilai yang perlu diketahui ialah nilai-nilai yang berkaitan dengan "survival" diri dan generasi sesuatu kehidupan itu termasuklah diri manusia itu sendiri. Kita wajib mengetahui bahawa apakah sesuatu tindakan itu berada pada tahap yang optima (cukup setakat perlu) atau berlebih-lebihan. Jika berlebih-lebihan mungkin tindakan itu akan menggugat kehidupan fizikal atau minda individu berkenaan. Ambil saja perkara yang paling mudah iaitu keperluan mengambil gula sebagai pembekal tenaga dan pemanis makanan. Jumlah yang berlebihan akan merosakkan sistem badan dan akhirnya boleh membunuh. Berapakah jumlah ambilan yang optima (sederhana) yang cukup hanya perlu sahaja? Perkongsian ilmu itu adalah amat vital.

Agama mencadangkan konsep "optimalisme" pada kehidupan dan orang yang mengamalkannya perlu mengajak orang lain berbuat demikian. Jika tidak demikian kita semua mungkin alpa dan sentiasa terjerumus kancah kehancuran. Jika kajian tentang sesuatu itu belum dilakukan dan pada waktu itu manusia masih "teraba-raba" untuk mencari penyelesaian dan keputusan, maka sumber rujukan popular bagi mengesan nilai-nilai optima itu ialah, kitab yang kita percaya bahawa sumbernya benar dan bersih dari tangan-tangan manusia. Carilah sumber itu bagi mendapat keselamatan. Tentulah kitab yang kita percaya datangnnya dari Pencipta kita sendiri.

Fikirkanlah...

sysalq

Sunday, July 20, 2008

KESERENTAKAN dalam KESIAPSIAGAAN ALAM


Kadangkala kesibukan kita menelusuri hidup ini menyebabkan kita alpa kepada perkara yang mudah-mudah. Pemerhatian kita kepada perkara 'enteng' menjadi begitu selamba sehingga ketahap tidak perasan kepada perkara demikian. Ambil saja contoh tentang perkara kesiapsiagaan dan keserentakan alam. Huh mungkin anih bunyi istilahnya...namun setakat ini istilah berkenaan rasanya menepati apa yang hendak diperkatakan di sini.

Kita biasa mendengar tentang teori proses kejadian manusia yang di bawa oleh Darwin. Teori berkenaan secara bersungguh-sungguh telah mengaitkan bahawa kemungkinan besar manusia seperti kita ini pada dahulunya adalah berasal-usulkan daripada monyet. Keseriusan premis tersebut dinyatakan dalam pelbagai pernyataan termasuk di dalam bentuk grafik dan model proses perubahan fizikal monyet berubah sehingga menjadi manusia secara berperingkat-peringkat (evolusi).

Istilah "evolusi" amat berkaitan dengan perubahan secara perlahan-lahan atau beransur. Suatu elemen lain yang di kaitkan dengan teori ini ialah unsur "ketidaksengajaan" di dalam perubahan tersebut. Ini bermakna perubahan berkenaan tidak dirancang dan berlaku secara kebetulan. Makanya kalaulah secara kebetulan monyet berkenaan menjadi manusia maka sudah tentulah tiada siapa yang merancangnya. Fahaman begini sudah tentu tidak mempercayai persoalan taqdir. Apabila taqdir berkait rapat dengan kepercayaan dan kekuasaan Tuhan, maka kelihatan teori ini tidak beriringan dengan fitrah ROH itu sendiri (rujuk posting terdahulu).

Paling mudah untuk menyangkal dakwaan Teori (hanya teori) Darwin ialah persoalaan Keserentakan dan Kesiapsiagaan Alam di dalam banyak perkara. Lihatlah umpamanya sebelum sesuatu pohon menghasilkan buah maka bunga akan terhasil terlebih dahulu dan begitulah pada kebanyakan pokok lain. Di sini tumbuhan pun "tahu dan akur" untuk mempersediakan diri terlebih dahulu (siapsiaga) dan secara serentak (seluruh) alam seolah-olah telah diajarkan terlebih dahulu. Selain dari itu cuba kita kaji tentang kromosom dan DNA (rujuk posting terdahulu) pada setiap kehidupan yang mengandungi kod-kod atau "masterplan" malah "futureplan" bagi setiap kehidupan berkenaan! Bayangkan, semasa kita masih di dalam bentuk zigot (satu sel) segala sifat kita apabila dewasa telah "termaktub" di dalam kromosom dan DNA? Tidakkah itu suatu gambaran tentanng kesiapsiagaan dan kerentakan di dalam perancangan dan TAQDIR? Jika tertaqdirkan maka siapa yang mentaqdirkan?

Fikirkanlah.

Sunday, April 13, 2008

SIAPAKAH DI SEBALIK 'DIRI FIZIKALKU'

Pernah aku bermimpi terlibat di dalam sebuah kemalangan ngeri yang kemudian aku 'tersedar' di dalam mimpi tersebut bahawa aku bukan terlibat di dalam kemalangan yang sebenarnya. Apabila mataku celik aku mengucap syukur kepada Tuhan kerana kejadian buruk berkenaan hanya 'berlaku' di dalam mimpi.

Aku bertanya kepada diriku "Mengapa begitu mendalam sekali keterlibatan diriku di dalam alam mimpi tersebut?" Aku dapat merasai setiap perasaan merentas kejadian yang berlaku termasuklah degupan jantung yang begitu memuncak. Aku 'melihat' selekoh bahaya yang aku 'lalui' dan aku merasai sendiri bagaimana aku 'tercampak' keluar dari kenderaan dan mengalamai 'kecederaan'. Sungguh menakutkan sekali.

Bagaimana fenomena tersebut dapat dirasai? Bagaimana aku dapat melihat sedangkan kelopak mata fizikalku sedang tertutup rapat. Bagaimana aku mendengar bunyi dentuman akibat kemalangan tersebut? Bagaimana kulit fizikalku merasai kejadian-kejadian demikian sedangkan aku sedang tidur di atas katil di rumahku?

Siapakah yang mengesan rangsangan-rangsangan itu?

Aku teringat pada "posting" yang lalu berkaitan dengan had diri yang mencetuskan ilusi. Akibat dari had kebolehan mata untuk mengesan kelajuan gerakan laju imej maka ilusi terucul untuk membuatkan seseorang 'menikmati ilusi' tersebut sebagai seolah-olah fenomena sebenar. Apa yang menarik ialah siapakah yang melihat ilusi tersebut? Adakah mata fizikal? Atau pun urat saraf neuron di dalam organ yang bernama otak? Atau sel-sel otak yang berilusi?

Jika di analisa bentuk rangsangan yang mendatang masuk ke dalam retina mata maka kita dapati saintis mendakwa bahawa "gelombang elektromagnet" dalam mod cahaya telah terfokus untuk memasuki retina dan memberi impak kepada sel-selnya. Sel-sel saraf diretina kemudiannya menukar impak tersebut kepada bentuk elektrokimia yang boleh merambat menerusi urat saraf neuron hingga ke kawasan tertentu otak. Sampai di sini kita masih belum jumpa siapakah dia yang dapat menterjemah kod-kod elektrokimia tersebut untuk ditukar kepada kod-kod 'ilusi'.

Maka, di sinilah kita menjadi buntu. Jika anda seorang penghayat ateis total maka anda akan menjadi buntu berkaitan dengan persoalan 'kesadaran' ini. Jika anda penganut sains - matematik semata-mata anda kan meng"aksiom"kan bahawa seharusnya ada suatu identiti penterjemah yang mencetuskan ilusi tersebut. Kemudian akan timbul perlbagai telahan yang memeningkan sehingga pemikiran anda berputar-putar untuk tidak menjumpai apa-apa kesimpulan.

Bagi yang mempercayai pemberitaan daripada Tuhan maka mereka membuat kesimpulan persis seperti apa yang diberitakan kepada mereka melalui kitab-kitab lama yang diturunkan kepada mereka bahawa wujud entiti yang membawa kesadaran diri yang dinamakan ROH. ROH ini adalah DIRI yang merasai kesan fizikal untuk diberi MAKNA. Sampainya MAKNA kepada sesiapa bermakna sampainya ilmu kepada mereka.

Renung-renungkanlah....
sysalq

Friday, April 4, 2008

MESIN KAPSUL NANO

Salam,
Bayangkan anda menaiki sebuah kapsul nano yang berupaya mengembara ke dalam sesuatu objek termasuk organisma hidup. Kecilnya kapsul tersebut boleh digambarkan sebagai sebesar sebuah molekul. Bayangkan apakah gambaran yang anda akan lihat sekiranya mesin kapsul nano tersebut berbergerak menembusi organisma.

Dari jauh kelihatan organisma yang dihampiri persis seperti sebuah objek yang amat besar. Kiasannya adalah seperti kapal angkasa bergerak menghampiri Planet Marikh. Apa yang hebatnya oleh kerana kapsul ini begitu kecil berbanding dengan objek yang bakal ditembusinya maka anda sebagai pemandunya akan melihat bahawa objek di hadapan anda bukanlah objek yang legap tetapi objek yang berongga. Rongga yang dimaksudkan itu sungguh besar. Anda akan melihat ruang lebih luas berbanding isikandungan fizikal objek berkenaan.

Sebenarnya mesin kapsul nano ini boleh menunjukkan bahawa objek fizikal yang dilihat padu sebenarnya mengandungi lebih banyak ruang daripada isikandungan fizikalnya. Kita dapat bayangkan simboliknya objek bumi kita yang mengorbit matahari di dalam "ruang" yang begitu luas yang dinamakan 'langit'. Apakah bumi ini juga merupakan 'mesin nano' yang sentiasa bertawaf mengelilingi matahari. Jika begitu persoalannya apakah bentuk objek besar yang sedang meliputi segala ruang yang dapat kita kesan?

sysalq

Tuesday, April 1, 2008

MISTERI SANG BENTUK

Mengapa bumi berbentuk oval? Mengapa juga matahari dan planet-planet lain sedemikian rupa? Mengapa titis air mempunyai bentuk sama seperti setitis minyak? Pernah terfikir tentang bentuk struktur Glukosa mirip seperti bentuk struktur Vitamin C?

Bentuk objek amat berkaitan dengan tabiatnya. Kereta sport dengan MPV JUARA mana yang lebih kerap memecut? Bentuk kereta "sporty" dikatakan sesuai untuk berlumba dan sebaliknya.

Bagaimana "mangkuk" boleh menakung air tetapi "piring" tidak? Fungsi itu amat berkaitan dengan bentuk. Kajilah bentuk-bentuk molekul virus, antibodi atau molekul-molekul di dalam tubuh organisma hidup. Bentuknya menentukan peranan dan tabiatnya.

Jika berfikir lebih jauh lagi..kalau begitu di dalam bentuk sudah ada taqdirnya. DNA merupakan heliks pelan induk biofizikal organisma. Sebelum lahir taqdirnya ditentukan di atas LOH yang kecil ini. Kemudiannya tubuh badan membesar dan sengaja akur dengan setiap perancangan. Jika ada kromosomnya Y di dalam nukleus sel maka lelakilah ia. Pada masa itu belum ada tubuh lagi apatah lagi organ jantina untuk menunjukkan bakal sibayi itu benar-benar menjadi lelaki.

Renungkanlah...

syslaq

Saturday, March 29, 2008

HAD DIRI YANG MENCETUSKAN ILUSI...


Semalam beberapa orang rakanku menyatakan bahawa mereka telah mengalirkan airmata kesedihan apabila menonton sebuah drama 'sedih' melalui TV. Airmata mengalir kerana mereka telah tenggelam di dalam situasi yang telah dicetuskan oleh kotak hitam yang dinamakan TV.

Aku menganalisa fenomena di atas sebagai ilusi yang timbul daripada had fizikal diri kita. Pancaran skrin TV hanyalah setitik cahaya yang berkelip berlarian dari atas ke bawah skrin melalui 625 garisan berulanga dengan kepantasan 25 ulangan sesaat. Seolah-olah cahaya tersebut menjadi pensil yang melukiskan foto-foto kaku satu demi satu dan foto berkenaan terus sentiasa diganti dengan kelajuan 25 keping sesaat mengikut urutan.

Mata kita gagal untuk mengesan fenomena perubahan kepingan foto sepantas TV. Akibat dari had tersebut maka minda ber ilusi sebagai 'melihat' suatu rentetan peristiwa yang mempunyai nilai-nilai dan impak emosi. Para penonton tenggelam dalam emosi masing-masing sedangkan hakikatnya ia hanyalah setitik cahaya yang berkelip-kelip yang berlari pantas.

Renungkanlah...apakah semua objek yang kita lihat ini tergolong dari ilusi?

Monday, March 24, 2008

REGRESI


Renungan tentang diri membawa diriku jauh ke suatu dimensi yang anih. Apabila mata dipejam maka minda menelusuri jauh ke suatu daerah yang dilupakan. Regresi sejarah biologi dan konsepsi yang jarang dilakukan membawa kesuatu konflik antara konsep. Dunia materialistik terurai untuk menjadi suatu yang tidak bersempadan. Aku dapat melihat diriku terdiri dari berjuta-juta hidupan biologis yang berkompromi membentuk suatu organisasi yang saling berinteraksi. Semua organ-organ ku bukannya "satu" organisam tetapi terdiri dari berjuta-juta organisma yang entah bagaimana sentiasa mengikut taqdirnya sendiri.