Sunday, April 13, 2008

SIAPAKAH DI SEBALIK 'DIRI FIZIKALKU'

Pernah aku bermimpi terlibat di dalam sebuah kemalangan ngeri yang kemudian aku 'tersedar' di dalam mimpi tersebut bahawa aku bukan terlibat di dalam kemalangan yang sebenarnya. Apabila mataku celik aku mengucap syukur kepada Tuhan kerana kejadian buruk berkenaan hanya 'berlaku' di dalam mimpi.

Aku bertanya kepada diriku "Mengapa begitu mendalam sekali keterlibatan diriku di dalam alam mimpi tersebut?" Aku dapat merasai setiap perasaan merentas kejadian yang berlaku termasuklah degupan jantung yang begitu memuncak. Aku 'melihat' selekoh bahaya yang aku 'lalui' dan aku merasai sendiri bagaimana aku 'tercampak' keluar dari kenderaan dan mengalamai 'kecederaan'. Sungguh menakutkan sekali.

Bagaimana fenomena tersebut dapat dirasai? Bagaimana aku dapat melihat sedangkan kelopak mata fizikalku sedang tertutup rapat. Bagaimana aku mendengar bunyi dentuman akibat kemalangan tersebut? Bagaimana kulit fizikalku merasai kejadian-kejadian demikian sedangkan aku sedang tidur di atas katil di rumahku?

Siapakah yang mengesan rangsangan-rangsangan itu?

Aku teringat pada "posting" yang lalu berkaitan dengan had diri yang mencetuskan ilusi. Akibat dari had kebolehan mata untuk mengesan kelajuan gerakan laju imej maka ilusi terucul untuk membuatkan seseorang 'menikmati ilusi' tersebut sebagai seolah-olah fenomena sebenar. Apa yang menarik ialah siapakah yang melihat ilusi tersebut? Adakah mata fizikal? Atau pun urat saraf neuron di dalam organ yang bernama otak? Atau sel-sel otak yang berilusi?

Jika di analisa bentuk rangsangan yang mendatang masuk ke dalam retina mata maka kita dapati saintis mendakwa bahawa "gelombang elektromagnet" dalam mod cahaya telah terfokus untuk memasuki retina dan memberi impak kepada sel-selnya. Sel-sel saraf diretina kemudiannya menukar impak tersebut kepada bentuk elektrokimia yang boleh merambat menerusi urat saraf neuron hingga ke kawasan tertentu otak. Sampai di sini kita masih belum jumpa siapakah dia yang dapat menterjemah kod-kod elektrokimia tersebut untuk ditukar kepada kod-kod 'ilusi'.

Maka, di sinilah kita menjadi buntu. Jika anda seorang penghayat ateis total maka anda akan menjadi buntu berkaitan dengan persoalan 'kesadaran' ini. Jika anda penganut sains - matematik semata-mata anda kan meng"aksiom"kan bahawa seharusnya ada suatu identiti penterjemah yang mencetuskan ilusi tersebut. Kemudian akan timbul perlbagai telahan yang memeningkan sehingga pemikiran anda berputar-putar untuk tidak menjumpai apa-apa kesimpulan.

Bagi yang mempercayai pemberitaan daripada Tuhan maka mereka membuat kesimpulan persis seperti apa yang diberitakan kepada mereka melalui kitab-kitab lama yang diturunkan kepada mereka bahawa wujud entiti yang membawa kesadaran diri yang dinamakan ROH. ROH ini adalah DIRI yang merasai kesan fizikal untuk diberi MAKNA. Sampainya MAKNA kepada sesiapa bermakna sampainya ilmu kepada mereka.

Renung-renungkanlah....
sysalq

No comments: