Sunday, June 28, 2009

MEMPERTIKAI KONSEP KUANTUM MEKANIK

Salam,

Orang yang mengangkat konsep Kuantum Mekanik, cukup taksub dengan "Unified Field Theory" yang dibawa oleh saintis terkemuka seperti Einstein. Pegangan ini bermula dari kepercayaan bahawa "semua material di alam ini adalah hanya ilusi". Grafik yang dilihat oleh mata, bunyi dan suara yang didengar melalui telinga kita sebenarnya adalah palsu. 'Kepalsuan' itu terletak di dalam minda yang menyangka bahawa fenomena yang dikesan itu adalah benar-benar 'begitu' sedangkan ianya hanya merupakan pantulan gelombang elektromagnetik yang merembat di dalam sistem deria dan seterusnya diintepretasi oleh sistem sel otak. 'Realiti' yang dikesan oleh deria kita itu sebenarnya bukan 'realiti'. Implikasinya ialah, kita bakal melihat relativiti di dalam semua kejadian di alam maya ini. Semuanya bakal menjadi 'benar belaka' atau 'salah belaka' atau apa jua nilai yang diletak oleh individu mengikut sangkaan masing-masing. Jadi, mereka berpendapat bahawa 'pertanggung-jawaban dalam tindakan sendiri' menjadi tidak relevan kerana tiada rujukan nilai yang boleh diterima umum - semuanya relatif belaka. Jika mereka menganiaya orang umpamanya, perbuatan itu hanyalah simbolik dan sudah tentu bukannya realiti. Tiada siapa yang akan patut dihukum akibat tindakannya dan si malang yang teraniaya itu sebenarnya memang telah bersedia untuk 'dianiaya' di dalam sistem yang penuh dengan nilai relatif ini.

Secara tiba-tiba, datang ilham kepada penulis yang memberi idea untuk menyanggah 'sangkaan' peneraju teori Kuantum Mekanik ini. Pertikaiannya terletak pada kewujudan infrastruktur sistem yang dikurniakan kepada kita semua. Silalah bertanya mengapa kita mempunyai peralatan-peralatan asas yang ada pada setiap individu termasuk pada haiwan juga. Mengapa kita diberi mata yang berkebolehan untuk menerima getaran cahaya dan menghantar impuls ke sistem minda kita? Mengapa kita semua memiliki peralatan yang sama? Jika ianya hanya persepsi mengapa tidak orang lain mempunyai peralatan yang berlainan? Ini bermakna kita telah dipersediakan dengan kebolehan asas tertentu yang impaknya boleh dikongsi bersama dan dengan menggunakan alat komunikasi yang boleh difahami oleh semua. Apabila persepsi kesan persepsi itu boleh dikongsi maka semua boleh "membanding-beza" akan sesuatu yang dipersepsikan. Objek dan pemikiran yang dikesan boleh pula dihirarkikan dan sentiasa menjadi suatu ilmu yang menuntut tanggung-jawab. Sebenarnya manusia tidak terlepas dari tanggung-jawab. Jika tidak, mustahil kita diberikan semua asas peralatan yang ada pada tubuh dan minda kita.

Memandangkan kita semua berkebolehan menerima ilmu dengan peralatan yang ada, maka kita memerlukan kayu ukur atau 'benchmark' sebagai rujukan bagi meletakkan nilai pada sesuatu itu. Nilai yang perlu diketahui ialah nilai-nilai yang berkaitan dengan "survival" diri dan generasi sesuatu kehidupan itu termasuklah diri manusia itu sendiri. Kita wajib mengetahui bahawa apakah sesuatu tindakan itu berada pada tahap yang optima (cukup setakat perlu) atau berlebih-lebihan. Jika berlebih-lebihan mungkin tindakan itu akan menggugat kehidupan fizikal atau minda individu berkenaan. Ambil saja perkara yang paling mudah iaitu keperluan mengambil gula sebagai pembekal tenaga dan pemanis makanan. Jumlah yang berlebihan akan merosakkan sistem badan dan akhirnya boleh membunuh. Berapakah jumlah ambilan yang optima (sederhana) yang cukup hanya perlu sahaja? Perkongsian ilmu itu adalah amat vital.

Agama mencadangkan konsep "optimalisme" pada kehidupan dan orang yang mengamalkannya perlu mengajak orang lain berbuat demikian. Jika tidak demikian kita semua mungkin alpa dan sentiasa terjerumus kancah kehancuran. Jika kajian tentang sesuatu itu belum dilakukan dan pada waktu itu manusia masih "teraba-raba" untuk mencari penyelesaian dan keputusan, maka sumber rujukan popular bagi mengesan nilai-nilai optima itu ialah, kitab yang kita percaya bahawa sumbernya benar dan bersih dari tangan-tangan manusia. Carilah sumber itu bagi mendapat keselamatan. Tentulah kitab yang kita percaya datangnnya dari Pencipta kita sendiri.

Fikirkanlah...

sysalq